Saturday 17 December 2011

Keadaan Di Alam Kubur


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk di jual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah SWT. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

"Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Tanya pemuda itu. "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah SWT sewaktu hidupnya. Lantaran Allah SWT menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari menghadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan Muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, "Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, "Wahai anak muda, mereka itulah yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab dan ditanya oleh Allah SWT. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain."


Pemuda itu menyambung lagi, "Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." "Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

"Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, "Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sekawaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

Hormatilah kedua ibu bapa kita...

"Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. "Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

"Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," "Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

"Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" Tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, "Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah SWT baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."


Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah SWT kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, walaupun amalan sebesar zarah.

Oleh itu, perbanyakkanlah mengingati maut. Tiada satu hari pun berlalu tanpa kubur berkata, "Aku ialah rumah kesunyian, rumah keseorangan, rumah debu dan rumah ulat-ulat."

Apabila seseorang mukmin dimasukkan ke dalam kubur maka kubur akan berkata," Kedatanganmu dialu-alukan, tersangat baik kerana kamu telah datang kepadaku. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas nuka bumi, engkaulah yang paling aku sukai. Hari ini engkau telah datang kepadaku, engkau akan melihat sebaik-baik layanan daripadaku."

Selepas itu kubur akan meluas sejauh mata memandang. Kemudian akan terbuka satu pintu yang melalui pintu itu akan masuk bau wangi-wangian dari syurga secara berterusan. 

Apabila seseorang yang berdosa dimasukkan, kubur akan berkata, "Tiada kata-kata aluan untuk kedatanganmu. Sangat jelek kedatanganmu. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi engkaulah yang paling aku benci, Hari ini engkau telah diserahkan kepadaku, engkau akan melihat layanan daripadaku."

Selepas itu kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuk akan berceragah antara satu sama lain. Kemudia tujuh puluh ekor ular akan dilepaskan keatasnya. Sekiranya seekor sahaja daripada ular itu menghamburkan bisa ke atas bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tinggal. Ular itu akan terus mematuk orang tersebut hingga ke hari kiamat.

Jadi sahabat-sahabatku..
Perbanyakkan lah mengingati maut..
Orang yang pandai adalah orang yang bersia-siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi

Dari Abu Hurairah r.a. berkata,
Rasulullah SAW bersabda:
"Perbanyakkanlah kamu sekalian mengingati sesuatu yang melenyapkan segala kelazatan, yakni MAUT".
(Riwayat At-Turmudzy)


Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."

Jadi renung-renungkan lah sahabat-sahabat ku...

1 comment:

  1. perkongsian y sgt berguna..semoga ALLAH memberkati kita semua..amien~

    ReplyDelete