Wednesday 30 November 2011

Takutlah Hanya Kepada Allah


Kisah Nabi Muhammad SAW

Hazrat 'Aishah r.anha meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi Muhammad SAW. Wajah Baginda akan menjadi pucat. Baginda akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah sambil membaca doa ini,

"Ya Allah, aku memohon daripadaMu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya dan aku berlindung denganMu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya."

Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi SAW. Saya bertanya, "Wahai Rasulullah, apabila melihat awan, semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan, sebaliknya tuan kelihatan gelisah."

Baginda bersabda, "Wahai Aishah, adakah aku boleh berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum Ad' telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, "Awan itu akan membawa hujan untuk kami." Sedangkan dalam angin itu ada azab."

Allah berfirman:
"Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, 'Ini ialah awan yang membawa hujan kepada kita.' (Mendengarkan kata-kata yang demikian Nabi Hud a.s berkata) "Tidak, bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan iaitu azab yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya." (Setelah azab itu menimpa mereka) maka mereka menjadi (punah-ranah) tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikian Kami membalas kaum yang berdosa."
(al-Ahqaf : 24 & 25)

Keterangan
Inilah sifat takut kepada Allah yang ada pada diri Rasulullah Saw. Walaupun daripada sabdaan Baginda sendiri menunjukkan bahawa Baginda ialah 'Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin' (yang bermaksud penghulu semua orang yang terdahulu dan terkemudian). Dalam kitab suci al-Quran pun ada ayat yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengazab umat ini selagi Nabi Muhammad SAW bersama mereka. Sungguhpun Allah telah berjanji demikian namun apabila Baginda melihat awan hitam atau ribut, Baginda masih teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan yang mendalam terhadap Allah.
Berdasarkan kisah ini, marilah kita melihat keadaan diri kita sendiri. Meskipun hampir setiap masa kita terlibat dengan dosa, namun selepas melihat gempa bumi dan pelbagai macam azab lain, kita tidak pun terkesan dengan azab-azab itu. Kita juga tidak menyibukkan diri kita degan taubat, istighfar dan solah tetapi sebaliknya kita menyibukkan diri dengan pelbagai kajian yang sia-sia.


Kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Hazrat Rabi'ah Aslami r.anhu menceritakan, "Pernah sekali berlaku pertengkaran antara  saya dengan Hazrat Abu Bakar r.anhu kerana sesuatu perkara. Beliau telah mengatakan sesuatu yang kasar terhadap saya yang saya tidak suka. Beliau segera menyedari keadaan itu dan berkata pada saya, "Engkau pun katakanlah perkataan itu kepada saya supaya menjadi balasan terhadap saya."

Saya enggan mengatakan perkataan itu. Maka beliau pun berkata, "Sama ada engkau katakan perkataan itu kepada saya ataupun saya akan pergi dan ajukan perkara ini kepada Rasulullah SAW."

Saya tetap enggan daripada menyuarakan sebarang jawapan. Lantas beliau bangun dan terus pergi. Beberapa orang daripada Bani Aslam datang dan berkata, "Adakah ini satu perbuatan yang wajar? Dia yang membuat kesilapan dan dia juga yang ingin adukan kepada Rasulullah SAW."

Saya menjawab, "Adakah kamu mengetahui siapa beliau? Beliaulah Hazrat Abu Bakar Siddiq r.anhu. Sekiranya beliau merajuk denganku maka Rasul yang dikasihi Allah juga akan memarahi aku. Dengan kemarahan Baginda, Allah juga akan memurkai aku. Jika demikian, tidak ada apa-apa keraguan lagi pada kebinasaan Rabi'ah."

Selepas itu saya pergi menemui Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa tadi. Baginda pun bersabda, "Tindakan kamu itu betul, memang sepatutnya engkau tidak menjawab dan tidak membalas terhadap beliau. Cuma sebagai ganti katakanlah, "Wahai Abu Bakar, semoga Allah mengampuni kamu."

Keterangan
Demikian itulah sifat ketakutan Hazrat Abu Bakar r.anhu kepada Allah SWT. Beliau begitu risau dan mengambil berat tentang satu perkataan yang remeh sehingga pada mulanya beliau sendiri yang meminta supaya dibalasi dan kemudian perantaraan Rasulullah SAW, beliau ingin supaya Hazrat Rabi'ah r.anhu mengambil tindak balas. Pada hari ini, sungguhpun banyak perkataan yang kita ucapkan antara satu sama lain namun kita tidak pun terfikir yang kita akan dibalasi atau pun kita akan dihisab di akhirat nanti.


Kisah Saidina Umar al-Khattab

Hazrat Aslam r.anhu hamba kepada Hazrat 'Umar r.anhu menceritakan, "Pada suatu ketika, sedang saya dan Hazrat 'Umar r.anhu berjalan menuju Harrah (satu tempat berhampiran dengan Madinah). Di suatu tempat kelihatan api yang sedang menyala di padang pasir. Hazrat 'Umar r.anhu berkata, "Mungkin itu ialah kafilah yang tidak sempat masuk ke bandar kerana waktu malam. Marilah kita pergi melihat keadaan mereka dan menguruskan keselamatan mereka pada waktu malam."

Setiba di sana, kelihatan seorang wanita bersama beberapa orang anaknya yang sedang menangis dan meraung-raung. Terdapat satu periuk yang penuh dengan air diletakkan di atas dapur yang sedang menyala. Beliau telah memberi salam dan meminta izin lalu menghampiri mereka dan bertanya, "Kenapakah budak-budak ini menangis?"

Wanita itu menjawab, "Mereka menangis kerana tersangat lapar." Hazrat Umar r.anhu bertanya lagi, "Apakah yang ada di dalam periuk?" Wanita itu menjawab, " Hanya air yang diisikan dan diletakkan di atas api untuk menenangkan mereka supaya mereka tidur. Hanya Allah yang akan membuat keputusan antara aku dengan Amirul Mukminin 'Umar r.anhu kerana beliau tidak menghiraukan kesempitanku."

Hazrat Umar r.anhu mula menangis dan berkata, "Semoga Allah merahmatimu. Bagaimana 'Umar dapat mengetahui keadaanmu?" Wanita itu berkata lagi, "Dia amir kami tetapi masih tidak mengambil tahu hal kami?"

Hazrat Aslam r.anhu menceritakan, "Hazrat Umar r.anhu telah membawa aku pulang bersama beliau dan telah mengisi satu karung dengan tepung, kurma, minyak sapi dan beberapa helai pakaian serta sedikit wang. Beliau telah memenuhkan karung itu. Kemudia beliau berkata, "Letakkan karung ini di atas belakangku." Saya berkata, "Biarkan saya yang membawa karung ini."

Beliau berkata, "Tidak ! Letakkan di belakangku." Apabila saya mendesak dua tiga kali, beliau berkata, "Adakah engkau yang akan memikul bebananku pada hari kiamat nanti? Akulah yang akan memikul bebananku pada hari kiamat kerana akulah yang akan disoal tentangnya."


Saya dengan berat hari telah meletakkan karung itu di atas belakang beliau. Lantas beliau telah menuju dengan pantas sekali ke arah tempat wanita tersebut. Saya pun pergi bersama beliau. Sebaik sahaja sampai di sana beliau telah memasukkan tepung, sedikit minyak sapi dan buah tamar ke dalam periuk itu dan mula mengacaunya. Beliau sendiri yang meniup dapur itu. Hazrat Aslam r.anhu berkata, "Aku lihat asap keluar dari celah-celah janggutnya yang tebal."

Sehinggalah harirah yakni bubur gandum manis telah tersedia. Selepas itu beliau telah mengeluarkan makanan itu dengan tangannya sendiri dan kemudian memberi budak-budak itu makan. Setelah mereka betul-betul kenyang, mereka pun bermain dengan riang. Baki makanan yang masih tinggal diserahkan kepada mereka untuk dimakan kemudian. Wanita itu sangat gembira dan berkata, "Semoga Allah membalas kamu dengan kebaikan. Kamulah lebih layak menjadi khalifah daripada 'Umar."

Hazrat 'Umar r.anhu telah menyenangkan hati wanita itu dengan berkata, "Apabila kamu datang berjumpa khalifah, kamu juga akan menemui saya di sana." Beliau menjauhkan diri sedikit dari wanita itu dan duduk di atas bumi. Selepas duduk beberapa ketika beliau pun pulang sambil berkata, "Aku duduk di situ kerana aku telah melihat mereka dalam keadaan menangis, hatiku ingin benar agar dapat melihat mereka dalam keadaan gelak ketawa."

Keterangan
Demikianlah keadaan Hazrat 'Umar r.anhu yang takut kepada Allah. Meskipun nama beliau sahaja sudah cukup ditakuti dan digeruni oleh raja-raja yang besar. Hari ini, walaupun lebih 1300 tahun telah berlalu, kehebatan beliau masih diakui. Dewasa ini, bukan setakat raja ataupun pemerintah, malah adakah ketua yang biasa sanggup melakukan demikian kepada orang bawahannya?


Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang takutkan Allah, semua makhluk akan takut kepadanya, dan sesiapa takutkan kepada sesuatu selain daripada Allah maka semua makhluk akan menakutkannya."




Monday 28 November 2011

Adakah Kita Terkecuali ?




Terdapat tiga orang sahabat baik yang berlainan kos di sebuah universiti.
Ahmad merupakan pelajar kos tafsiran alQuran dan Hadis, Badrul pula pelajar kos kejuruteraan awam manakala Saiful pula pelajar kos sains hayat.

Pada suatu hari, Badrul mengajak sahabat-sahabat baiknya itu pergi makan. Ketika mereka hendak makan,

Ahmad : Jom kita baca doa sebelum makan bersama-sama.   
Badrul : Engkau lah baca Ahmad, engkau kan pelajar kos agama.
Saiful : YA ! Setuju !

Ahmad menuruti sahaja kehendak sahabat-sahabatnya itu lalu dia mengetuai bacaan doa dan begitulah berlaku seterusnya. Setiap perkara yang mereka buat, Ahmad sahajalah yang mengetuai atas dasar Ahmad pelajar 'kos agama'

Sampai satu ketika, di sebuah restoran ketika mereka hendak membuka puasa..

Ahmad : Badrul, sekarang engkau pula yang mengetuai bacaan doa.
Badrul : Haish.. tak nak la, engkau lah Ahmad, engkau lebih layak kerana engkau kos agama. Tak pun Saiful je la yang baca (sambil menuding jari ke arah Saiful)
Saiful : Eh ! Kenapa aku pulak ?? Engkau lah Ahmad, engkau kan kos agama. Takkan tak boleh kot ^_^
Ahmad : Ok la , aku lah yang baca, dekat akhirat nanti memang aku je yang akan dihisab kan ?? Aku ok je ^_^
Badrul & Saiful : Errrr.. 

Di hari berikutnya....

Ahmad : Jom kita dengar tazkirah sama-sama ^_^
Badrul : Errr... Takpe la.. Engkau je  la yang pergi. Engkau kan kos agama. Orang macam aku ni tak pergi pun xpe.. aku bukan kos agama.
Saiful : Betul cakap Badrul tu. Lagipun aku busy dengan assignment aku, next week dah nak exam. Yang lebih afdhal engkau je lah Ahmad yang pergi.. Lagipun memang ada kaitan dengan kos ko kan ? hehehe

Mendengar jawapan sahabat-sahabatnya itu Ahmad berasa dia perlu menjelaskan sesuatu kepada sahabat-sahabatnya itu.

Ahmad : Boleh aku cakap sikit ? ^_^

"Kenapa korang selalu kaitkan aku dengan kos yang aku ambil? Adakah di hari akhirat nanti Allah menilai kita melalu kos yang kita ambil? Cara korang bercakap seolah-olah orang yang mengambil kos agama sahaja yang akan dihisab.

Maksudnya orang kos agama macam aku ni sahaja yang akan masuk syurga. Betul tak ?

Ye la.. semua perkara baik aku kena buat disebabkan aku kos AGAMA. Bukan ke korang juga perlu berusaha untuk kumpul pahala?

Aku ambil kos ni pun bukan sebab aku pakar dalam agama. Cuma aku mahu mengenali Islam dengan lebih mendalam kerana sebelum ini aku tidak begitu ambil berat tentang agama. Sebab tu la aku apply kos ni supaya aku dapat mendalami Islam dan kembali ke jalan yang diredhaiNya.

Tidak semestinya kos selain dari kos agama tidak diredhai Allah. Asalkan kita buat kerana Allah, pasti Allah juga akan redha dengan kita dan sentiasa bersama kita.

Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, kita adalah Muslim ! Dilahirkan sebagai seorang Islam sejak dari lahir lagi dan ini tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Kita jangan hanya Islam hanya pada nama dan IC, Islam juga pada hati dan terapkan di dalam diri dan amalan harian kita. Barulah kita menjadi orang Islam yang sejati !

Ada juga orang yang ambil kos agama tapi masih kurang ilmuya, ada juga orang ambil kos selain daripada agama tetapi banyak ilmunya. Tapi bukanlah itu yang dinilai oleh Allah tetapi sejauh mana kesungguhan kita untuk mendapatkan keredhaan Allah. Allah hanya memberi hidayah kepada orang yang mencari dan berusaha untuk mendapat keredhaanNya, bukan berdasarkan kos yang kita ambil dan apa yang kita belajar." 



Badrul mula menitiskan air mata manakala Saiful tunduk malu..

Kemudian Ahmad meninggalkan sahabat-sahabatnya untuk pergi ke tempat tazkirah. Selang beberapa langkah Ahmad meninggalkan sahabat-sahabatnya, tiba-tiba dia mendengar Badrul dan Saiful menjerit "Tunggu kami Ahmad ! Kami ingin ke tempat tazkirah juga ! Mulai hari ini kami akan berusaha untuk mendekati Islam dengan lebih mendalam lagi.. Terima kasih atas peringatan yang engkau beri.."

Ahmad : Bersyukurlah kepada Allah. Dia masih lagi memberi kita peluang untuk berubah dan mencari jalan yang diredhaiNya.


Sumber : Dari facebook seorang sahabat. 


*Kisah benar. Inilah realiti kehidupan kita. Belajar agama jika kita sekolah agama atau kos agama sahaja. Semoga dapat diambil iktibar untuk muhasabah dan mujahadah kita bersama. InsyaAllah. ^_^


Sayidina Ali:
“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”

"Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah)." [Al-Qalam, 68:8]

"Dan janganlah mereka (yang ingkar) dapat menghalangmu (daripada menyampaikan dan beramal dengan) ayat-ayat Allah sesudah ia diturunkan kepadamu; dan serulah manusia kepada (agama) Tuhanmu; dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang menyertai orang-orang musyrik." [Al-Qasas, 28:87]

















Sunday 27 November 2011

Malaikat Kecil


Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk "Jalan Ke Syurga" dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata "OK ayah, saya sudah bersedia". Ayahnya berkata "Bersedia untuk apa?". Budak itu menjawab "Ayah masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini". Ayahnya membalas "Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak".

Dengan muka kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, "Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?"

Ayahnya menjawab, "Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..". Dengan nada sedih, budak itu bertanya, "Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?". Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, "Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati".

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberi risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.


Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang.

Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.

Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat.


Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, "Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?".

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, "Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ni hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Allah menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya".

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, "Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu".

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, "Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?".

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, "Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini."

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah pututs harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Saya berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati.



Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat.

Saya berfikir sendirian lagi "Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya". Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua.

Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. "Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik". Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk "Jalan Ke Syurga" yang saya pegang ini.

   Bila "malaikat kecil" itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi. 

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucap syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian dalam neraka. Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR ! ALLAHU AKBAR ! Gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana "malaikat kecil" itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya.




 Inilah satu peristiwa.. Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.

Sebarkanlah kalimah ALLAH, kalau kita bantu Allah dan mengajar orang mendekatiNya, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.

Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;
"...pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nimatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Sumber: http://wanwma.com/motivasi/ayah-adakah-manusia-tidak-masuk-neraka-jika-hari-hujan/