Wednesday 30 November 2011

Takutlah Hanya Kepada Allah


Kisah Nabi Muhammad SAW

Hazrat 'Aishah r.anha meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi Muhammad SAW. Wajah Baginda akan menjadi pucat. Baginda akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah sambil membaca doa ini,

"Ya Allah, aku memohon daripadaMu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya dan aku berlindung denganMu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya."

Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi SAW. Saya bertanya, "Wahai Rasulullah, apabila melihat awan, semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan, sebaliknya tuan kelihatan gelisah."

Baginda bersabda, "Wahai Aishah, adakah aku boleh berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum Ad' telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, "Awan itu akan membawa hujan untuk kami." Sedangkan dalam angin itu ada azab."

Allah berfirman:
"Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, 'Ini ialah awan yang membawa hujan kepada kita.' (Mendengarkan kata-kata yang demikian Nabi Hud a.s berkata) "Tidak, bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan iaitu azab yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya." (Setelah azab itu menimpa mereka) maka mereka menjadi (punah-ranah) tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikian Kami membalas kaum yang berdosa."
(al-Ahqaf : 24 & 25)

Keterangan
Inilah sifat takut kepada Allah yang ada pada diri Rasulullah Saw. Walaupun daripada sabdaan Baginda sendiri menunjukkan bahawa Baginda ialah 'Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin' (yang bermaksud penghulu semua orang yang terdahulu dan terkemudian). Dalam kitab suci al-Quran pun ada ayat yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengazab umat ini selagi Nabi Muhammad SAW bersama mereka. Sungguhpun Allah telah berjanji demikian namun apabila Baginda melihat awan hitam atau ribut, Baginda masih teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan yang mendalam terhadap Allah.
Berdasarkan kisah ini, marilah kita melihat keadaan diri kita sendiri. Meskipun hampir setiap masa kita terlibat dengan dosa, namun selepas melihat gempa bumi dan pelbagai macam azab lain, kita tidak pun terkesan dengan azab-azab itu. Kita juga tidak menyibukkan diri kita degan taubat, istighfar dan solah tetapi sebaliknya kita menyibukkan diri dengan pelbagai kajian yang sia-sia.


Kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Hazrat Rabi'ah Aslami r.anhu menceritakan, "Pernah sekali berlaku pertengkaran antara  saya dengan Hazrat Abu Bakar r.anhu kerana sesuatu perkara. Beliau telah mengatakan sesuatu yang kasar terhadap saya yang saya tidak suka. Beliau segera menyedari keadaan itu dan berkata pada saya, "Engkau pun katakanlah perkataan itu kepada saya supaya menjadi balasan terhadap saya."

Saya enggan mengatakan perkataan itu. Maka beliau pun berkata, "Sama ada engkau katakan perkataan itu kepada saya ataupun saya akan pergi dan ajukan perkara ini kepada Rasulullah SAW."

Saya tetap enggan daripada menyuarakan sebarang jawapan. Lantas beliau bangun dan terus pergi. Beberapa orang daripada Bani Aslam datang dan berkata, "Adakah ini satu perbuatan yang wajar? Dia yang membuat kesilapan dan dia juga yang ingin adukan kepada Rasulullah SAW."

Saya menjawab, "Adakah kamu mengetahui siapa beliau? Beliaulah Hazrat Abu Bakar Siddiq r.anhu. Sekiranya beliau merajuk denganku maka Rasul yang dikasihi Allah juga akan memarahi aku. Dengan kemarahan Baginda, Allah juga akan memurkai aku. Jika demikian, tidak ada apa-apa keraguan lagi pada kebinasaan Rabi'ah."

Selepas itu saya pergi menemui Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa tadi. Baginda pun bersabda, "Tindakan kamu itu betul, memang sepatutnya engkau tidak menjawab dan tidak membalas terhadap beliau. Cuma sebagai ganti katakanlah, "Wahai Abu Bakar, semoga Allah mengampuni kamu."

Keterangan
Demikian itulah sifat ketakutan Hazrat Abu Bakar r.anhu kepada Allah SWT. Beliau begitu risau dan mengambil berat tentang satu perkataan yang remeh sehingga pada mulanya beliau sendiri yang meminta supaya dibalasi dan kemudian perantaraan Rasulullah SAW, beliau ingin supaya Hazrat Rabi'ah r.anhu mengambil tindak balas. Pada hari ini, sungguhpun banyak perkataan yang kita ucapkan antara satu sama lain namun kita tidak pun terfikir yang kita akan dibalasi atau pun kita akan dihisab di akhirat nanti.


Kisah Saidina Umar al-Khattab

Hazrat Aslam r.anhu hamba kepada Hazrat 'Umar r.anhu menceritakan, "Pada suatu ketika, sedang saya dan Hazrat 'Umar r.anhu berjalan menuju Harrah (satu tempat berhampiran dengan Madinah). Di suatu tempat kelihatan api yang sedang menyala di padang pasir. Hazrat 'Umar r.anhu berkata, "Mungkin itu ialah kafilah yang tidak sempat masuk ke bandar kerana waktu malam. Marilah kita pergi melihat keadaan mereka dan menguruskan keselamatan mereka pada waktu malam."

Setiba di sana, kelihatan seorang wanita bersama beberapa orang anaknya yang sedang menangis dan meraung-raung. Terdapat satu periuk yang penuh dengan air diletakkan di atas dapur yang sedang menyala. Beliau telah memberi salam dan meminta izin lalu menghampiri mereka dan bertanya, "Kenapakah budak-budak ini menangis?"

Wanita itu menjawab, "Mereka menangis kerana tersangat lapar." Hazrat Umar r.anhu bertanya lagi, "Apakah yang ada di dalam periuk?" Wanita itu menjawab, " Hanya air yang diisikan dan diletakkan di atas api untuk menenangkan mereka supaya mereka tidur. Hanya Allah yang akan membuat keputusan antara aku dengan Amirul Mukminin 'Umar r.anhu kerana beliau tidak menghiraukan kesempitanku."

Hazrat Umar r.anhu mula menangis dan berkata, "Semoga Allah merahmatimu. Bagaimana 'Umar dapat mengetahui keadaanmu?" Wanita itu berkata lagi, "Dia amir kami tetapi masih tidak mengambil tahu hal kami?"

Hazrat Aslam r.anhu menceritakan, "Hazrat Umar r.anhu telah membawa aku pulang bersama beliau dan telah mengisi satu karung dengan tepung, kurma, minyak sapi dan beberapa helai pakaian serta sedikit wang. Beliau telah memenuhkan karung itu. Kemudia beliau berkata, "Letakkan karung ini di atas belakangku." Saya berkata, "Biarkan saya yang membawa karung ini."

Beliau berkata, "Tidak ! Letakkan di belakangku." Apabila saya mendesak dua tiga kali, beliau berkata, "Adakah engkau yang akan memikul bebananku pada hari kiamat nanti? Akulah yang akan memikul bebananku pada hari kiamat kerana akulah yang akan disoal tentangnya."


Saya dengan berat hari telah meletakkan karung itu di atas belakang beliau. Lantas beliau telah menuju dengan pantas sekali ke arah tempat wanita tersebut. Saya pun pergi bersama beliau. Sebaik sahaja sampai di sana beliau telah memasukkan tepung, sedikit minyak sapi dan buah tamar ke dalam periuk itu dan mula mengacaunya. Beliau sendiri yang meniup dapur itu. Hazrat Aslam r.anhu berkata, "Aku lihat asap keluar dari celah-celah janggutnya yang tebal."

Sehinggalah harirah yakni bubur gandum manis telah tersedia. Selepas itu beliau telah mengeluarkan makanan itu dengan tangannya sendiri dan kemudian memberi budak-budak itu makan. Setelah mereka betul-betul kenyang, mereka pun bermain dengan riang. Baki makanan yang masih tinggal diserahkan kepada mereka untuk dimakan kemudian. Wanita itu sangat gembira dan berkata, "Semoga Allah membalas kamu dengan kebaikan. Kamulah lebih layak menjadi khalifah daripada 'Umar."

Hazrat 'Umar r.anhu telah menyenangkan hati wanita itu dengan berkata, "Apabila kamu datang berjumpa khalifah, kamu juga akan menemui saya di sana." Beliau menjauhkan diri sedikit dari wanita itu dan duduk di atas bumi. Selepas duduk beberapa ketika beliau pun pulang sambil berkata, "Aku duduk di situ kerana aku telah melihat mereka dalam keadaan menangis, hatiku ingin benar agar dapat melihat mereka dalam keadaan gelak ketawa."

Keterangan
Demikianlah keadaan Hazrat 'Umar r.anhu yang takut kepada Allah. Meskipun nama beliau sahaja sudah cukup ditakuti dan digeruni oleh raja-raja yang besar. Hari ini, walaupun lebih 1300 tahun telah berlalu, kehebatan beliau masih diakui. Dewasa ini, bukan setakat raja ataupun pemerintah, malah adakah ketua yang biasa sanggup melakukan demikian kepada orang bawahannya?


Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang takutkan Allah, semua makhluk akan takut kepadanya, dan sesiapa takutkan kepada sesuatu selain daripada Allah maka semua makhluk akan menakutkannya."




2 comments: